Keep Calm

Just another WordPress.com site

Lelaki Muda BOROS – Bahana kad kredit May 10, 2010

Filed under: Today's News — bleibruhig @ 5:12 am

KUALA LUMPUR 9 Mei – Wanita sering dikaitkan dengan hobi ‘membuang duit’ iaitu membeli-belah, namun hakikatnya lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.

Golongan itu mula mengumpul hutang sejak awal bekerja dan apabila berumah tangga, hutang semakin menimbun sehingga gagal dibayar menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk keluar daripada masalah itu.

Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.

Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).

Golongan yang berkahwin paling ramai mendapatkan khidmat itu iaitu 28,068 orang (76.8 peratus) diikuti bujang seramai 6,260 orang (17.1 peratus) dan bercerai seramai 1,508 orang (4.1 peratus) sementara kematian pasangan seramai 711 orang (dua peratus).

Menurut statistik itu, masing-masing 25 peratus punca golongan tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman adalah disebabkan kegagalan merancang kewangan sejak mula bekerja dan perbelanjaan perubatan yang tinggi.

Penyumbang ketiga terbesar pula ialah penggunaan kad kredit di luar kawalan iaitu sebanyak 17 peratus diikuti gagal dalam perniagaan dan hilang pekerjaan iaitu masing-masing 12 peratus.

Faktor lain ialah kematian ketua keluarga (dua peratus) diikuti kegagalan dalam pelaburan (satu peratus) dan lain-lain (enam peratus).

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm


KOMEN:

Daripada artikel di atas, didapati bahawa penyumbang ketiga terbesar (lelaki muda berhutang) ialah penggunaan kad kredit di luar kawalan iaitu sebanyak 17 peratus

Ini sudah cukup membuktikan kepincangan sistem ekonomi Malaysia yg semata-mata berlandaskan sistem kapitalisme dan bukannya sistem Islam.Walaupun begitu disebabkan kesuntukan masa (mungkin kita boleh membincangkan mengenai sistem kapitalisme di lain hari), di sini saya ingin lebih fokuskan mengenai salah satu cabang sistem kapitalisme iaitu penggunaan kad kredit dan hukumnya menurut pandangan Islam (walaupun isu ini sudah lapuk tapi masih rmi lg yg tidak peka dan ambil tahu mengenainya).

APA ITU KAD KREDIT???

Menurut kamus oxford: ” Ia adalah satu kad yang dikeluarkan oleh Bank atau mana-mana pihak lain, yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran(Hutang)”

Menurut Majlis Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (Majma’ Fiqh Islami): “Satu bentuk penyata sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak diantara kedua-dua belah pihak, ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat2 dari semua pihak yang mengiktiraf penyatan sandaran (kad Kredit) tadi, tanpa perlu membuat pembayaran tunai (segara), kerana ia mengandungi jaminan pembayaran dari pihak pengeluar.”

*‘Hutang’ dari sudut syarak menurut takrifan Al-Qadhi Ibn ‘Arabi “Iaitu urusan pemindahan (pertukaran) hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya), yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak kedua secara tangguh di atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau tidak)”

JENIS KAD KREDIT (berdasarkan cara penyelesaian bil)

  1. Kad jenis (Charge card)
2. Kad yang menerima pembaharuan bil (Revolving Credit Card)
–          Pemegang wajib membayar bil penggunaan setiap bulan.

–          Contoh: American Express, Diners Club

–          Ciri-cirinya:

a)      Pemegang tidak disyaratkan membuka akaun simpanan di bank pihak pengeluar kad dan tidak perlu mengemukakan jaminan tunai akan melangsaikan hutang2 penggunaan kpd bank pengeluar.

b)      Pemegang kad diberi had tertentu (Credit Line and limit), lalu ia boleh menikmati seluruh hak hutang piutang (bayaran tangguh) dalam satu had ‘tempoh izin tangguh jangka pendek’ yang telah ditentukan, iaitu tempoh antara waktu belian dan waktu wajib langsaian bil. Biasanya dalam 55-60 hari, ketika itu, pemegang akan dibekalkan dengan penyata bulanan yang menyebut transaksi urusniaga yang telah digunakan.

c)      Jika pemegang lewat melangsaikan kos penggunaannya dari waktu yang ditetapkan, maka pengeluar akan mengenakan penalty akibat lewat yang telah ditetapkan di dalam kontrak perjanjian. Mungkin juga akan ditarik balik kad dan dibuang dari keahlian dan sebagainya.

d)     Mungkin juga pemegang kad jenis ini perlu membayar yuran permohonan sekali sahaja, dan juga yuran pembaharuan kad tahunan.

–          Paling banyak digunakan di seluruh dunia

–          3 jenis: Kad emas, Kad perak & Kad biasa.

–          Contoh: Visa Card, Master Card

–          Ciri-cirinya:

a)      Pemegang Kad tidak wajib melangsaikan ‘kos guna’ nya secara keseluruhannya setelah mendapat penyata bil dari pengeluar dalam tempoh izin yang diberikan, TETAPI DIBENARKAN UNTUK MEMBAYAR HANYA NISBAH KECIL DARI BIL . Manakala bakinya, pemegang diberi pilihan samada ingin melangsaikannya dalam tempoh izin yang diberi tersebut ataupun dibiarkan bakinya lalu pihak pengeluar akan mengenakan faedah daripada jumlah bil yang tertangguh ini.

b)      Kad ini juga ada yang mempunyai had tertinggi penggunaan. Bermakna pemegang hanya boleh berbelanja sebanyak mana yang disukainya selagi mana di dalam kadar maksimum yang dibenarkan, dan hanya perlu membayar nisbah kecil dari bil (sekitar 5 % sahaja), manakala jika bakinya di tangguh sehingga melepasi tempoh percuma (biasanya 30 hari), pelanggan akan dikenakan peratusan faedah. Biasanya kadar faedahnya amat tinggi iaitu sekitar 18-25 % setahun. Inilah Riba yang amat jelas malah amat membebankan dan menindas.

c)      Pemegang Kad boleh menggunakannya samada di dalam ataupun di luar negara di mana2 sahaja asalkan pihak peniaga mengiktirafnya.

HUKUM BERKAITAN DENGAN PENGGUNAAN KAD KREDIT

1. Kontrak dan Hubungan Antara Pengeluar, Pemegang dan Peniaga.

Secara amnya, jenis kontrak yang dibuat antara pemegang kad, Pengeluar dan pihak ketiga adalah diktiraf di dalam Islam. Pandangan yang terkuat di dalam hal ini adalah hubungan Al-Kafalah (Jaminan). Dimana ‘Kafil’ (adalah Penjamin-Pengeluar Kad), ‘Makful’ (Yang dijamin- Pemegang Kad) dan ‘Makful lahu’ (Penjual). Semua ini adalah diiktiraf dan kontrak adalah sah di sisi Islam. Kesannya, semua pembelian dibuat dengan kad ini, tiada lagi hak tuntutan pembayaran dari peniaga kepada pemegang kad, kerana ia telah terpindah kepada Pengeluar.

Maka tidak harus peniaga menuntutnya daripada Pemegang Kad. Demikian pandangan Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ibn Hazm dan Majoriti Fuqaha. Pndangan mereka adalah berdasarkan kefahaman terhadap tiga buah hadith Nabi yang diriwayatakn oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Ad-Dar Qutni dan lain lain. Justeru tulisan ini tidaklah ingin memanjangkan bicara tentangya.
2. Menggunakan Kad kredit Konvensional dalam tempoh dibenarkan

Dalam hal seseorang berhasrat menggunakan kad kredit konvensional yang meletakkan syarat Faedah Riba tetapi ia berazam sentiasa menjaga tempoh pembayaran semula sebelum di kenakan faedah Riba, Kesatuan Fiqh Antarabangsa OIC (OIC Interntional Fiqh Academy) dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 telah memfatwakan sebagai TIDAK HARUS terutamanya di waktu kewujudan Kad Kredit Islam. Bagaimanapun, ketetapan dalam persidangan yang sama juga telah dibuat; mengharuskan membuat kad kredit konvensional yang tiada meletakkan sebarang syarat Faedah / Riba di dalam kontraknya. Bagaimanapun dengan syarat mestilah melangsaikan jumlah penggunaan sebelum di kenakan faedah Riba.

3. Yuran Penyertaan, Pembaharuan dan Penukaran Kad
Hukumnya : HARUS, tiada masalah dari sudut syarak, ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya. Juga HARUS jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada perbezaan jenis khidmat. Tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat sebenar yang diberikan, jika ia melebihi kos khidmat sebenar, maka ia adalah Riba yang diharamkan.
Demikian keputusan dalam Qarar (ketetapan) dari Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) pada persidangnnya ke-3 pada Oktober 1986.

2. Kos Tertentu Dari Peniaga kepada Bank Pengeluar.
Adakalanya pihak Bank atau pengeluar Kad akan meletakkan syarat dalam perjanjiannya dengan para peniaga sejumlah ‘kos tertentu’ dalam bentuk peratusan yang akan di ambil dari Bil Penjual (Peniaga), yang mana biasanya berlegar sekitar 2-5% atau 8 % dari jumlah Bil. (Lihat Jones , Sally A, The Law Relating to Credit Cards, London, 1989 ,ms 14)

Hasilnya, apabila Peniaga membuat tuntutan kepada Bank Pengeluar, maka Bank akan segera menunaikan bil (Pemegang Kad) iaitu setelah dipotong jumlah kos yang disebut tadi. Kemudian pihak Bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan) hasil penggunaan kad daripada pemegang kad.

Hukumnya : Harus . Berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah. Jumlah kos ini dikira hadiah. (Rujuk Fatawa Hindiyyah, juga Fatawa Al-Bazaziyah, Al-Mabsut dan lain lain ). Terdapat ramai para Fuqaha (Ulama Fiqh) mengganggap ia adalah upah wakil (Ujrah Wakalah) kepada Bank kerana menjadi ‘wakil’ bagi Peniaga dalam mempromosikan barangannya serta jaminan wujudnya pelanggan. Ia juga boleh dianggap sebagai Diskaun Khas dari peniaga kepada pengeluar. Ada juga yang mengatakan ia sebagai upah Broker (Ia adalah pandangan Prof. Dr Rafiq Al-Misri).

4. Hadiah dan Jaminan Khas Bagi Pemegang Kad Emas (Gold Card)

Ia bertujuan untuk menarik golongan menengah dan atasan bagi menyertai skim mereka. Maka untuk tujuan itu, mereka menawarkan beberapa bentuk hadiah dan skim Insuran Percuma dan Insuran Kemalangan Perjalanan.
Dalam program Hadiah Ahli (Membership Rewards), setiap Ringgit Malaysia (RM) hasil penggunaan Kad Emas, pengguna akan mendapat satu mata. Dan mata ini akan bertambah dan jumlah mata terkumpul tertentu akan membolehkan pengguna menikmati program melancong percuma atau penginapan di hotel percuma, atau diskaun di restoran-restoran dan lain lain. (Lihat : American Express Cards, an exclusive opportunity for a select few)

Hukumnya : berbeza menurut jenis hadiah; ia seperti berikut :-
a) Hadiah Insuran percuma : Hukum Insuran Konvensional telah diputuskan oleh Sidang Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC yang pertama pd 1397 H, sebagai Haram kerana mengandungi unsur Riba, Gharar (ketidaktentuan), Jahalah(ketiadaan maklumat tepat semasa transaksi), Judi dan lain lain.

Bagaimanapun dalam konteks ini, hukumnya berlainan kerana pemegang tidak membayar apa-apa kepada syarikat Insuran, oleh itu ia tidak terjebak di dalam hukum haram yang diputuskan, malah ia dianggap sebagai hadiah galakan sahaja dan hukumnya adalah Harus. Ini adalah kerana ia bukannya maksud kontrak tetapi hanya tabi’ (perkara sampingan yang terhasil dari perjanjian).

Telah diiktiraf dalam Kaedah Fiqh bahawa “Dimaafkan yang berlaku pd tawabi’ dan tidak pd lainnya” (Rujuk Majalah al-Ahkam Al-‘Adliyah).

b) Hadiah-hadiah lain : HARUS atas dasar sumbangan dan derma dan galakan. Asalkan ia tidak terjebak dalam muamalat Bank Konvensional Ribawi. Juga dengan syarat hadiah ini terdiri daripada perkara yang halal menurut pandangan Shariah. Bagaimanapun, ulama Mazhab Syafie tidak mengharuskannya atas dasar ‘Sadd az-Zarai’ (Menutup jalan haram dari berlaku).

5. Syarat Menamatkan Kontrak Menurut Kehendak Pengeluar Sahaja

Iaitu pihak pengeluar mempunyai hak untuk menamatkan kontrak walaupun tanpa persetujuan Pemegang kad.

Hukumnya : Syarat ini diterima dan HARUS di sisi Syara’, kerana kontrak yang diikat adalah termasuk dalam bab Kafalah. Ia telahpun dinaskan sebagai kontrak ‘Ghair Lazim’ (Boleh ditamatkan kontrak tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak). Terutamanya apabila pemegang kad melanggar perjanjian kontrak.

6. Membeli Emas & Perak dengan Kad Kredit

Ulama Fiqh telah menegaskan bahawa antara syarat sah pembelian emas dan perak dengan wang kertas mestilah transaksi pertukaran berlaku ketika itu juga tanpa sebarang penangguhan, ia disebut “at-taqabud fil hal” dalam istilah Fiqh. Ia adalah berdasarkan Hadith Nabi SAW yang jelas menyatakan syarat dan keperluan itu. Ini adalah kerana wang kertas dianggap dari kalangan harta ribawi (usurious items) dan demikian juga Kad Kredit.

Persoalannya dalam isu Kad Kredit adalah : Adakah peniaga emas dan perak menerima harga bayaran di tempat transaksi jual beli dilakukan?. Dalam hal ini, Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC telah membuat dua ketetapan ; Iaitu yang lama yang yang baru . Pandangan lama (dalam sidangnya yang ke 9 pada April 1995) menyebut : “Proses terima serah “At-Taqabud” sebenarnya telah terlaksana, iaitu dengan cara melalukan kad kredit tersebut di alat bacaan kad kredit ketika pembayaran dibuat”. Dengan tindakan ini, semua maklumat telah dihantar ke Bank Pengeluar yang akan menguruskan pembayaran selepas itu. Ia juga merupakan ketetapan dari Simposium Ekonomi Islam ke -12 anjuran Dallah al-Barakah pada 1996.

Pandangan baru mereka (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC) ; mereka memfatwakannya sebagai HARAM ( Berdasarkan keputusan nombor 108, pada persidangan 23-28 September 2000 )

Justeru, saya menyarankan agar orang ramai menjauhi hal ini lebih baik dari mengambil mudah. Ini kerana kaedah Fiqh menyatakan ” Keluar dari khilaf adalah lebih diutamakan” . Maka hukumnya : HARAM.

7. Pertukaran Matawang (Money Exchange atau ‘As-Sarf’) Dengan Kad Kredit.
Biasanya, pemegang kad boleh menggunakan kad ini di kebanyakan negara di dunia bagi membeli apa jua barang yang dikehendakinya, dengan penggunaan kad ini, maka pihak Bank Pengeluar akan membayar Bil kegunaan di luar negara tadi secara segera dengan matawang negara yang terbabit. Kemudian menuntut dari Pemegang kad dengan Matawang tempatan (dengan menggunakan harga pertukaran hari tersebut – sebagaimana termaktub di dalam perjanjian) bagi membayar bil dalam tempoh izin sekitar 2-3 minggu.

Jelas, terdapat transaksi pertukaran matawang (As-Sarf) dalam hal ini. Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa syarat dalam Islam bagi pertukaran wang adalah At-Taqabud fil hal.

Hukumnya : HARAM. Ini adalah kerana kelewatan Bank menerima timbal balik dari pemegang kad, bagi pertukaran matawang yang telah dilakukannya. Bank hanya mendapat timbal tukaran itu selepas 2-3 minggu, ini kerana Bank menuntut Bil dari pemegang kad hanya selepas dikeluarkan bil penyata selain memberinya had tempoh izin. Justeru tiada taqabud haqiqi ataupun hukmi berlaku disini. Lalu Hukumnya adalah HARAM kerana berlaku Riba Buyu’ . Ia menurut ketetapan Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC dalam sidangnya yang ke 12 pada September 2000. BAGAIMANAPUN dikecualikan dari haram dalam keadaan dharurat dan keperluan yang amat sangat.

8. Denda Penalti Kerana Lewat Langsaian Bil Wajib bagi ‘Kredit Kad.

Terkandung di dalam syarat kontrak bagi ‘Credit card, bahawa pemegang kad akan menanggung denda akibat kelewatan melangsaikan bil wajib minimanya dalam tempoh izin (30 hari). Sudah tentu ia berbentuk wang.

Hukumnya : HARAM, terdapat unsur Riba An-Nasiah (Riba Hutang) yang sangat dilarang di dalam Islam kerana terdapat unsur menzalimi manusia lain serta memakan harta manusia tanpa haq. Telah Ijma’ seluruh ulama muslim pengharaman riba ini.

Demikian Keputusan hasil persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998.

BAGAIMANAPUN terdapat keputusan berbeza dari persidangan Ekonomi Islam AL-BARAKAH ke 12 pada tahun 1996, yang memutuskan HARUS, tetapi jumlah denda itu mestilah digunakan untuk tujuan derma kebajikan.  Ia dibolehkan berdasarkan kelemahan kefahaman agama dan kesengajaan dalam melewatkan dalam melangsaikan Bil walaupun mampu. Demikian juga pandangan mazhab Maliki dan Syeikh Prof. Mustafa Ahmad Az-Zarqa. Pandangan yang lebih kuat adalah HARAM.

9. Bunga @ Faedah Dikenakan bagi Memperbaharui Bil Bagi Kredit Kad

Terkandung dalam syarat kontrak ‘Kredit Kad’ bahawa pemegang yang tidak ingin melangsaikan bil secara sepenuhnya, maka bil yang berbaki tersebut akan dikenakan faedah.

Hukumnya : HARAM, ia adalah Syarat Riba yang dilarang di dalam Islam tanpa sebarang ragu-ragu. Demikian keputusan persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998.

Soalan : Adakah harus seorang muslim memohon Kad ini, yang jelas mensyaratkan faedah bagi bil berbaki?

JAWAPAN : Asalnya adalah HARAM dan batal syarat tersebut. Bagaimanapun terdapat pengecualian apabila ada keperluan mendesak dan tiada pilihan lain, ketika itu hukumnya HARUS, dengan syarat membayar penuh bil tanpa meninggalkan sebarang baki yang boleh dikenakan Faedah.

10. Mengeluarkan Wang dengan Kad Kredit
Ia dianggap pemegang kad membuat pinjaman kepada Bank Pengeluar Kad secara langsung melalui ‘Auto Teller Machine’ bank pengeluar atau cawangannya atau melalui ATM Bank Lain (di kira sebagai wakil).

Hukumnya:

1. HARUS, jika pemegang mempunyai wang yang mencukupi dalam akaunnya. Ketika itu pemegang kad seolah2 mengeluarkan wangnya sahaja. Jika diambil dr bank lain juga demikian. Dan Harus pihak bank mengambil kos upah dengan kadar khidmat mereka yang sebenar.

2. HARAM JIKA Bank Pengeluar mensyaratkan Faedah@bunga hasil pinjaman yang diberikan. Kerana ia adalah Riba al-Qurudh. KECUALI JIKA PIHAK BANK PEMBERI PINJAMAN HANYA MENGAMBIL KOS KECIL YANG TETAP, HASIL KHIDMAT PEMPROSESAN YANG DIBUATNYA SAHAJA. KETIKA ITU HARUS , Demikian qarar Majma’ Fiqh Islam Sedunia pada sidangnya ketiga pada 1986 M.

3. Jika Pemegang tiada jumlah yang mencukupi di dalam akaunnya (berlaku overdraft) atau langsung tiada sbrg akaun. Maka dianggap pengeluarannya itu adalah PINJAMANnya terhadap bank. dan semua hukum pinjaman (al-Qardh) di dalam Islam adalah terpakai ketika itu. Sebagaimana Kaedah: ‘Kullu Qardhin Jarra Naf’an Fahuwa Riba’ Setiap pinjaman yang mensyaratkan sebarang manfaat bagi pihak pemberi pinjaman adalah RIBA.

Sumber: http://www.zaharuddin.net/content/view/258/98/

Advertisements
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s